Artikel 1

Bila Suami Hendak Keluar Rumah


“Abang nak balik pukul berapa?”

Biasanya, sebelum kita keluar dari rumah untuk pergi ke pejabat, isteri kita jarang bertanyakan soalan di atas. Sebab memang pada kebiasaannya kita akan pulang selepas jam 5.00 petang. Malah, kita pula yang akan beritahu padanya yang kita akan pulang lewat jika kita ada program yang berlanjutan selepas waktu bekerja.

Namun, jika isteri kita bertanya kepada kita soalan di atas setiap kali kita hendak keluar rumah pada waktu petang atau malam kerana urusan selain daripada kerja pejabat, kita akan berasa rimas dengan soalan tersebut. Seolah-olah dia hendak “control” urusan kita pula. Walaupun dia tahu yang kita keluar rumah itu adalah kerana urusan organisasi atau persatuan yang juga kita bertanggungjawab seperti mana tanggungjawab kita di pejabat pada siang hari.

Bila kita pulang ke rumah lewat dari waktu yang kita janjikan, maka dia akan bertanya mengapa kita lewat. Kadang-kadang kita malas hendak menjawabnya sebab bagi kita perkara itu adalah masalah teknikal. Bagi kita juga, kita sudah sampai ke rumah ini pun isteri kita patut bersyukur. Lagi baik kalau dia menyambut kita dengan ucapan “Alhamdulillah, abang dah balik.”

Dan kita pula amat mengimpikan jika isteri kita menghantar kita ke muka pintu dan sebelum kita melangkah keluar, dia berdoa di hadapan kita dengan kata-kata, “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah perjalanan dan amal suamiku ini dan kembalilah dia dengan mendapat keredhaan-Mu.”

Dia tidak menanyakan waktu bila kita akan pulang. Kita bebas bila kita hendak pulang ke rumah. Kalau isteri kita begini, kita akan berasa amat seronok. Namun, kebanyakan daripada mereka tidak sedemikian.

Mengapa perkara ini terjadi?

Isteri kita amat risau akan perkara yang berlaku pada kita apabila kita berada di luar rumah. Kalau kita berada di pejabat dan dia berada di pejabat, itu tidak mengapa. Tapi jika pada waktu malam dia berada di rumah dan kita berada di tempat lain meneruskan "kerja", maka dia akan berasa amat risau.

Isteri kita risaukan:

1. Keselamatan kita
2. Kesihatan kita
3. Anak-anak kita
4. Diri kita sendiri
5. CINTA kita padanya

Bila dia tanya “Abang nak balik pukul berapa?”, bermakna “Jika dah habis kerja tu baliklah cepat ya atau telefonlah jika ada hal-hal lain, saya kesunyian di rumah ni walaupun kita ada satu trailer anak-anak.”

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjelaskan kerja dan tanggungjawab kita di luar rumah itu dengan sejelas-jelasnya kepada isteri kita dan bereskan segala kerja-kerja di rumah yang isteri kita memerlukan sangat pertolongan kita yang biasa kita bantu itu dengan sebaiknya.

Jika isteri kita bertanyakan soalan seperti di atas tadi, maka sebelum kita menghidupkan enjin kereta dan selepas berdoa menaiki kenderaan, kita hendaklah senyum bersyukur yang isteri kita itu SAYANG pada kita. Jika kita keluar rumah dan isteri kita buat tak kisah sahaja ke mana kita hendak pergi dan pukul berapa kita hendak pulang, ini bermakna rumahtangga kita sedang “bermasalah.”

Artikel ini merupakan salah satu bab dalam buku Suami Memimpin, Isteri Mengurus yang ditulis oleh Konsultan Mahligai Kasih, Pak Utih. Dapatkan dalam bengkel Mahligai Kasih kami!