Kita kembali dari pejabat dengan segala penat-lelah setelah lebih kurang lapan jam berada di pejabat. Kadang-kadang ditambah pula lelah di jalan raya yang tidak henti-henti sesaknya. Sampai di rumah, isteri kita pula menyambut kita dengan wajah yang keletihan setelah seharian menguruskan anak-anak kita yang “buas” (jika ada anaklah). Jika isteri kita bekerja pejabat, sama-sama pulang dari tempat kerja, maka sama-samalah kita berpenat-lelah. Lebih parah lagi jika kita bergayut di dalam bas mini 10 dan isteri kita bergayut di dalam bas mini 11.
Sampai di rumah, sama-sama tak sempat hendak bertegur-sapa, terus berdengkur di atas katil. Dia pandang ke barat, kita pandang ke timur. Bagi yang aktif pula dengan masyarakat atau persatuan, maka waktu-waktu yang ‘second hand’ itulah digunakan untuk kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Mana pula ada masa hendak bergurau-senda dengan isteri dan anak-anak di rumah. Itulah kehidupan sebahagian daripada kita.
Pada hujung minggu pula, program persatuan telah menanti untuk kita menggerakkannya. Jika kita dan isteri kita sama-sama aktif, maka semua anak-pinak kita angkut bersama-sama dalam program itu. Maka jadilah seperti berprogram di dalam bilik darjah sebuah tadika atau taman asuhan. Anak-anak memang enjoy dengan suasana tersebut. Sebab jika kelakar yang mereka buat itu paling “daring”, maka mereka akan mendapat perhatian daripada rakan-rakan ibu bapa mereka. Selesai berprogram, kita kembali ke rumah untuk bersedia menjalani kehidupan harian yang serupa dari minggu ke minggu.
Apa silapnya kita? Tiada silap, malah kita sepatutnya bersyukur kerana dapat memenuhi masa kita dan keluarga kita dengan kerja-kerja yang berfaedah. Namun, alangkah indahnya jika sekali-sekala kita “break the monotonous” itu hanya bersama-sama dengan isteri kita sahaja. Berdua berpegangan tangan ke restoran-restoran mewah atau “window shopping” di kompleks membeli-belah.
Kita pakat-pakatlah dengan jiran kita untuk menjaga anak-anak kita. Lupakan kerja-kerja pejabat, persatuan dan kebajikan pada detik-detik ini. Ucaplah kata-kata indah, genyit-genyitkan mata, kenangkan kembali saat-saat indah semasa berbulan madu dahulu.
Tapi ingat, jangan buat selalu, cukuplah tiga kali dalam setahun. Itu pun berdasarkan kesibukan atau status kewangan kitalah. Kita rancang bersama isteri kita tarikh-tarikh ini. Lebih indah lagi jika tarikh-tarikh ini bertepatan dengan tarikh-tarikh istimewa masing-masing.
Kesannya, ia akan menghuraikan kekusutan fikiran, terutama sekali isteri kita. Isteri kita yang full-time atau part time di rumah memang menantikan waktu-waktu tersebut. Maka setahun yang berlalu, bagaikan sehari yang lepas jika mereka dapat menikmati waktu-waktu ini.
Namun, ada juga suami yang tidak mahu tetapkan tarikh-tarikh ini. Mereka suka membuat “surprise” pada isteri. Tapi awas! Takut-takut terlupa nak surprise, jadi isteri pula yang tak surprise jika kita tidak membawanya ke tempat-tempat itu.
Isteri kita adalah pakaian untuk kita dan kita juga adalah pakaian untuk mereka. Kita ada hak terhadapnya dan dia juga ada hak terhadap kita. Maka tunaikanlah hak-hak mereka dengan baik mengikut kemampuan kita. Bersyuralah dengan mereka, walaupun isteri kita itu hanya pandai menguruskan rumah kita sahaja.
Artikel ini merupakan salah satu bab yang dipetik dari buku Pak Utih bertajuk 'Suami Memimpin, Isteri Mengurus'. Dapatkan dalam bengkel Mahligai Kasih anjuran kami!
No comments:
Post a Comment