Biasanya waktu petang pada bulan Syawal, “hang-over hari raya” masih terasa, terutama sekali waktu hujung-hujung minggu, isteri kita akan lebih kreatif menyediakan kuih-muih pemanis mulut untuk menyerikan lagi suasana “family-gathering” meminum petang bersama dengan anak-anak kita. Tengah kita bersantai sambil bersembang dengan isteri dan anak-anak yang berlonggok di hadapan televisyen, tiba-tiba terdengar laungan “Assalamualaikum!” sambil pintu diketuk dan disambung dengan ungkapan, “kami nak berayaaa!”
Dengar sahaja ungkapan salam tersebut, kita pun bingkas bangun dan terus masuk ke dalam bilik mencapai baju kerana tadinya hanya berkain pelikat sahaja. Kemudian kita meluru ke depan dan terus menyambut salam dengan muka yang manis dan terus mempelawa sahabat dan angkatan keluarganya masuk ke dalam rumah.
Disebabkan kedatangannya ini tidak diberitahu dari awal, maka sudah pastilah keadaan bilik itu agak kelam-kabut sedikit. Sempat jugalah isteri dan anak-anak kita yang sudah matang itu berhempas-pulas menyorok, mengemas, melonggok dan membaling apa-apa yang patut demi menyenangkan mata tetamu yang datang bertandang itu.
Gelak ketawa rianglah kita dengan tetamu itu bersembang dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Jelas berputik sudah ukhuwah antara kita dengannya kerana sudah lama tidak bertemu. Kita sama-sama bersyukur atas kunjungannya dan kita pula berjanji akan menziarahinya apabila kita dan keluarga mempunyai waktu lapang nanti.
Sedang rancak bercerita, anak sulung kita memberikan isyaratnya dari pintu dapur yang kita sendiri telah maklum akan maksudnya. Kita pun meminta izin daripada tetamu dan terus ke dapur untuk mengambil minuman dan kuih yang siap disusun rapi di atas talam untuk dibawa ke depan.
Disebabkan rancaknya perbualan, habis licin kuih yang dihidang. Malah, kita yang pemurah ini bergegas ke dapur pula untuk menambah kuih yang telah hampir-hampir licin. Apa lagi apabila mendapat pujian daripada sahabat kita yang kita ini bertuah kerana mendapat isteri yang pandai membuat kuih yang sedap itu.
Waktu hampir-hampir hendak maghrib, barulah nada perbualan kita bertukar ke sesi kesimpulan dan masing-masing berjanji untuk bertemu lagi pada waktu-waktu yang sama pada masa hadapan.
Kita pun terasa puas apabila sahabat kita tadi telah pulang dan terasa benar pahala telah kita peroleh kerana melayan tetamu dengan sebaik mungkin. Kita pun dengan hati yang seronok menceritakan kepada isteri tentang isi perbualan, perangai baik-baik sahabat kita ini tadi dan pelawaan untuk menziarahinya.
Namun, kali ini isteri kita macam layan tak layan saja. Seolah-olah dia tidak restui pula kedatangan sahabat kita tadi. Mulalah hati kita ini naik risau hendak mempelawa rakan-rakan lain datang ke rumah kita. Malah, ada dalam kalangan kita yang takut hendak mempelawa tetamunya masuk ke rumah. Dia hanya melayan rakan-rakan tadi di pintu rumah saja. Jika ada mana-mana bangku atau tunggul batu di tepi pagar itu, dia akan mempelawa tetamunya itu duduk di situ sahaja. Sampailah tetamu itu balik.
Nampaknya dia serik hendak mengajak tetamunya ke dalam rumah kerana isterinya sudah semacam tidak gembira bila rakan-rakannya datang bertandang.
Mengapa boleh terjadi demikian?
Dari sudut melayan tetamu tadi, memang boleh diakui kita telah mendapat pahala yang banyak. Namun, kita terlupa yang pahala itu juga telah sepatutnya diperolehi oleh isteri kita di dapur itu. Tetapi kalau isteri telah bermasam muka sebaik saja tetamu kita itu beredar, maka sudah pasti pahala untuknya terlepas begitu sahaja.
Bagaimana pula isteri kita itu boleh bermasam muka?
1. Dia terasa amat malu jika tetamu masuk ke rumahnya yang dalam keadaan bersepah, lintang-pukang dan tidak tersusun, terutamanya bahagian ruang tamu. Dia akan terasa kredibilitinya sebagai seorang isteri yang baik akan hilang. Dia mula akan menyalahkan tetamu itu dan mungkin juga kita kerana tidak memberitahunya lebih awal. “Telefon dan e-mail kan ada, mengapa tak beritahu!” fikirnya.
2. Tetapi bagi kita sang suami ini, tidak kisahkan sangat keadaan bersepah itu. Kita punya anggapan bahawa keadaan ini menunjukkan betapa sibuknya kita dan aktifnya anak-anak kita bermain di dalam rumah kita itu. Lebih banyak sepahnya, lebih aktiflah anak kita. Bertambah megahlah kita hendak bercerita tentang kenakalan anak-anak kita itu. Ada harapan jadi “Power Rangers” atau yang lebih Islamik, menjadi seperti “Khalid ibnul Walid - pejuang Islam yang terbilang”.
3. Bila tetamu kita pulang, kita pula menceritakan kehebatan sahabat kita tadi. Terlupa kita akan kehebatan isteri kita yang berkorban tidak menyentuh kuih tadi, semata-mata melayani tetamu kita yang juga menjadi tetamunya. Dilarangnya pula anak-anak kita memakan kuih tadi semasa di dapur, sebab takut-takut kita akan meminta lagi, sedangkan kuih itu dibuat sedikit hanya untuk keluarganya sahaja. Dan memang benarlah sangkaannya, apabila kita meluru kali kedua ke dapur bertanyakan kuih itu lagi.
Oleh itu para suami sekalian:
1. Apabila tetamu datang secara mengejut, kita hendaklah menyambutnya di luar pintu terlebih dahulu dan menantikan isyarat daripada isteri membenarkan kita masuk apabila dia telah selesai menjalankan tugas “Mission Impossible”nya itu.
2. Jangan pula kita melayan tetamu kita itu di luar rumah sahaja. Ini juga akan mengecilkan hati isteri kita. Dia juga inginkan pahala atas kunjungan tetamu kita itu. Melainkan kita tahu isteri kita itu tidak bersedia atau sakit.
3. Pandai-pandailah kita mengawal suasana jika kita sendiri tahu yang kuih yang dihidang itu tinggal sedikit sahaja, atau ke dapurlah kita bertanyakan dahulu kepada isteri kita. Pendekatan ini lebih selamat. Ia tidak akan memalukan tetamu kita dan juga isteri kita.
4. Sebaik sahaja tetamu itu beredar, kita hendaklah bergegas ke dapur dan mengangkat cawan dan piring kosong itu ke singki. Kalau rajin sedikit, teruslah membasuh semua piring dan cawan yang digunakan tadi. Paling kurang ialah kita ucapkan kepada isteri kita, “Terima kasih sayang, kerana menolong abang menyediakan minuman dan kuih untuk tetamu abang tadi.” Lebih syahdu lagi hendaklah ditambah, "Semoga usaha kita tadi mendapat pahala daripada Allah.”
Jika beginilah amalan kita, pasti isteri kita akan berkata, “Nanti kalau dia datang lagi, kita buat laksa Kuala Perlis nooo!”
Artikel ini merupakan sebahagian daripada bab terdapat dalam buku Suami Memimpin, Isteri Mengurus, hasil buah tangan Pak Utih. Dapatkan buku ini dalam bengkel Mahligai Kasih anjuran kami!
No comments:
Post a Comment