Tuesday, July 20, 2010

Bila Mata Terliar Sedikit

Oleh Pak Utih

Pada suatu petang yang aman damai, kita membawa isteri dan anak-anak bersiar-siar di taman rekreasi untuk memecah “monotonous” demi menambah kebahagiaan rumahtangga kita. Pusing punya pusing mencari tempat letak kereta, akhirnya jumpa juga satu tempat kosong di sudut yang agak ramai pengunjung di taman itu.

Kita pun mencari kawasan lapang untuk diletakkan tikar dan bekalan makanan sekadar memeriahkan lagi suasana berekreasi itu. Anak-anak kita yang aktif itu kita biarkan mereka melompat-lompat dan berlari sambil melakonkan semula bintang pujaan televisyen mereka “gagahnya Power Rangers” dan “ajaibnya Doraemon”, yang mana kita sendiri gagal membendungnya. Pada ketika inilah isteri kita akan bertambah manja dan berdamping rapat dengan kita. Dengan air mukanya yang berseri, dia senyum memanjang melihat keindahan alam sekeliling.

Ramai pengunjung yang lalu-lalang di hadapan dan di belakang kita termasuklah juga anak-anak gadis bersendirian, dengan keluarga dan berkumpulan bersama-sama menikmati keindahan alam rekreasi ciptaan Ilahi. Sebagai insan yang sentiasa terdedah dengan bisikan syaitan, kadangkala mata kita “terjeling” juga mengekori bayangan mereka yang baru lalu di hadapan kita, terutama sekali yang telah menghiasi diri mereka untuk ditontoni. Pandangan pertama dikira tidak mengapa kerana ia adalah gerakan spontan dari refleksi saraf kita (tetapi hanya beberapa saat sajalah). Tetapi jika kita ulangi dengan pandangan kedua dan ketiga dengan pandangan yang seolah-olah ingin “ta’aruf” dengannya, maka yakinlah pada ketika ini isteri kita telah dan sedang memerhatikan arah tuju panahan mata kita.

Isteri kita tidak menegur dan terus mendiamkan dirinya sambil memendam rasa. Bertambah remuk lagi hatinya jika dilihatnya kita bertambah ghairah hingga sanggup memalingkan kepala 90 darjah ke arah “objek” tersebut. Kita tidak perasan dan memang kita orang lelaki ini tiada perasaan atau kurang perasaan. Bersuka-rialah kita bergelak ketawa dengan anak-anak, tetapi isteri kita telah mula pudar senyuman dan jika diagah sekali pun akan kelihatan agahannya itu dibalas ala kadar sahaja.

Waktu Maghrib telah hampir tiba, maka kita pun berkemas semula untuk kembali ke rumah. Jelas kelihatan anak-anak kita puas dan malah ada yang tidak mahu pulang kerana masih belum puas ber“Power Rangers” di situ. Tetapi tidak pada isteri kita. Kita pun naik hairan. Bagi isteri yang “cool” sedikit akan bersindir dulu dengan berkata, “Tadi tengok anak dara baju merah tu macam nak makan aje!” Bagi isteri yang lebih berani pula akan berkata, “Apalah you ni, depan I you tengok perempuan lain pulak.. malulah I.”

Bagi suami yang cepat-cepat sedar kesilapannya akan terus membalas dengan gurauan seperti berikut, “Wow! you nampak ke? Alahai, depa dah lalu, tengok sikit aje, bukan apa-apa, sorrylah ye! Itu lintasan syaitan mata I aje.” Kes sebegini biasanya menyejukkan kembali gelora kepanasan darah dan geram di lubuk sanubari isteri kita.

Bagi suami yang ada ego pula, dia akan mempertahankan benang basahnya dengan berkata, “Ish! takdelah, I tak tengok pun.” Kes begini akan memanaskan lagi suasana dengan perdebatan yang bertambah panas seperti kata-kata berikut, “Apa, you ingat mata I ni buta ke?” Pada ketika ini, anak-anak di belakang menjadi keliru dengan tingkah laku emaknya. Mereka mungkin menyebelahi ayah mereka. Sampailah ke rumah perdebatan yang tiada berkesudahan yang berjalan tanpa pengadil-pengadil yang arif lagi bijaksana menetapkan keputusannya.

Mengapa boleh terjadi demikian?

Seorang isteri akan terasa hilang maruah dan rendah harga dirinya sebagai seorang isteri jika suaminya, dengan kehadiran isteri melihat perempuan lain dengan pandangan yang “memiangkan” suasana. Mereka tidak akan menegur kita semasa kejadian itu sedang berlaku kerana ingin menjaga maruah suami yang dicintainya itu di khalayak ramai.

Namun, jika tegurannya itu semasa di dalam kereta (mana-mana isteri yang tidak sabar) atau bila sudah sampai di rumah (mana-mana isteri yang “cool”) dinafikan oleh suami, maka bertambah remuklah hatinya dan akan hilanglah kepercayaan setiakawannya kepada kita. Jika ini yang terjadi, maka selepas sahaja peristiwa ini, isteri kita tidak lagi percaya kepada kita dan amat payahlah untuk kita berkomunikasi secara berkesan dengannya. Ini kerana hati dan pemikirannya telah menjadi negatif terhadap keikhlasan kita. Isteri kita akan sentiasa ingat peristiwa ini sampai bila-bila dan akan dikeluarkannya apabila perlu untuk mematikan hujah-hujah kita semasa kita berhujah nanti.

Oleh itu, sentiasalah ingatkan diri kita akan pesanan Allah untuk menundukkan pandangan mata agar bukan sahaja tidak melakukan zina mata, tetapi juga tidak meremukkan kepercayaan isteri kepada kita. Kalau terpandang kali pertama tidak mengapa, tetapi cepat-cepatlah beristighfar dan usahakan untuk tidak mengulanginya buat kali kedua walaupun isteri tiada di sisi kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat segala perbuatan kita.


Ayuh semarakkan cinta bersama pasangan dengan menghadiri bengkel "Mahligai Kasih" pada 8 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat pada bahagian kanan blog ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment