Oleh ARMA
Di dalam minda saya bagaikan banyak perkara yang ingin saya tuliskan berkenaan hubungan intim suami isteri. Sebahagiannya adalah hasil daripada pengalaman hidup berumahtangga melebihi 20 tahun, sebahagiannya hasil perkongsian saya bersama rakan-rakan yang ingin berkongsi masalah dan pengalaman mereka bersama saya, dan sebahagiannya pula melalui pembacaan saya berkenaan isu ini.
Saya sengaja tidak menulis isu ini dengan membawa dalil Al-Quran dan Hadis kerana saya percaya para ibu bapa sekalian lebih arif daripada saya. Tambahan pula buku mengenai hubungan intim suami isteri banyak ditulis oleh ulama-ulama Islam dan buku-buku tersebut banyak terdapat di pasaran. Kalau penulisan ini dikatakan sebagai satu kelainan, maka saya yakin penulisan ini tidak lari daripada apa yang telah ditulis oleh ulama-ulama Islam.
Sebenarnya, dalam mencapai kemuncak perhubungan suami isteri, maka iman itulah faktor penting dalam membawa kebahagiaan berumahtangga. Hati yang dipenuhi cahaya iman adalah hati yang penuh dengan sifat terpuji seperti sabar, redha, berlapang dada, bersangka baik, merendah diri, pemaaf dan berterima kasih. Hubungan suami isteri yang dihiasi dengan sifat mahmudah ini pasti lebih harmoni dan teguh ikatannya berbanding hubungan yang dicemari dengan sifat mazmumah seperti pemarah, dendam, sombong, tidak berterima kasih, tidak pemaaf dan bersangka buruk.
Setiap pasangan mendambakan satu kehidupan rumahtangga yang bahagia dan harmoni. Namun, hakikat sebenar membuktikan bahawa tiada rumahtangga yang terselamat daripada sebarang pergolakan dan krisis.
Bukannya kita mengundang masalah, tapi ia datang tanpa disangka-sangka atau dijemput. Malah, ia sudah menjadi asam garam kehidupan berumahtangga. Bagaimanapun ia mesti diredakan jika matlamat “rumahku syurgaku” menjadi matlamat sesuatu perkahwinan.
Sebenarnya disinilah letaknya ujian sebenar kebahagiaan rumahtangga. Hubungan yang positif, rasa kasih sayang, persefahaman dan sifat saling memberi dan menerima perlu dipertahankan dalam menghadapi krisis dan perbalahan. Sebarang krisis tidak wajar dibiarkan merebak sehingga menjejaskan bahtera yang sekian lama dibina. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai satu pengajaran dalam mengukuhkan ikatan yang telah terjalin.
Marilah kita memastikan mahligai yang dibina adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Firman Allah yang mana maksudnya:
“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum : 21)
Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya, dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Tabarani)
No comments:
Post a Comment