Oleh ARMA
Hidup kalau tiada masalah, bukan kehidupan namanya. Begitu juga halnya dengan alam rumahtangga. Masalah sering datang kerana ia merupakan asam garam kehidupan berumahtangga.
Antara keunikan lelaki dan wanita ialah cara kita melihat dan menangani sesuatu masalah. Kemahiran suami isteri dalam memahami keunikan dan perbezaan antara satu sama lain akan banyak membantu dalam menjalin hubungan intim.
“No couples is a perfect fit. So learn to respect differences and overlook rough sports. Recognize that your differences are not due to bad faith or lack of respect or interest.”
Sebagaimana wanita menilai pemberian atau hadiah daripada suami samada besar atau kecil adalah sama sahaja, begitu jugalah kaum wanita apabila berhadapan dengan masalah. Bagi mereka, tidak ada istilah ‘masalah kecil’ atau ‘masalah besar’. Semua masalah adalah masalah.
Lain pula halnya dengan lelaki; mereka mengklasifikasikan sesuatu masalah itu samada masalah kecil, besar, remeh atau penting.
Bagi lelaki, setiap masalah perlu ada penyelesaiannya. Berlainan dengan wanita, mereka akan merasa puas jika dapat meluahkan masalah mereka tanpa perlu ada penyelesaiannya.
Bagi lelaki, perbuatan ini membuang masa mereka. Ramai lelaki yang tidak faham bahawa apabila isteri mengadu masalah kepada suami, mereka sebenarnya mahu didengari dan disayangi. Mereka akan merasa amat lega jika suami mereka dapat mendengar masalah mereka. Dalam erti kata yang lain, mereka mahukan suami mereka menjadi pendengar yang baik serta prihatin terhadap diri mereka.
Disebabkan perbezaan ini, banyak isteri yang bengang dengan jawapan si suami apabila mereka mengadu masalah kepada suami. Mengikut kajian kaunselor rumahtangga, antara aduan isteri terhadap suami apabila mereka mengadu mengenai masalah kepada suami ialah suami mendengar sambil lewa, tidak mahu dengar langsung, pura-pura tak dengar, atau cepat-cepat memberi jawapan sebelum isteri sempat habis berkata-kata.
Antara contoh dialog yang menyebabkan isteri bengang ialah:
Dialog 1
Isteri: Saya penatlah dengan kerja pejabat hari ini, banyak betul yang perlu disiapkan...
Suami: Kalau tak tahan, berhentilah kerja, dari dulu lagi abang dah cakap.
Dialog 2
Isteri: Anak kita ni macam ada masalah dalam pelajarannya.
Suami: Alah, abang pun macam tu juga masa kecil dulu. Jangan risaulah...
Bagi isteri, jawapan seperti di atas amat mengecewakan. Apa yang sebenarnya mereka harapkan ialah si suami melayan mereka bercakap dan dengan itu mereka dapat meluahkan masalah mereka. Mat Saleh kata, “You don’t love your wife for what she says, but love what she says because you love her”, cantik juga ungkapan ini!
Bagi kaum wanita, aktiviti bercakap-cakap merupakan aktiviti yang penting dan suatu nikmat. Inilah cara mereka memupuk kasih sayang dan keintiman dengan suami. “A happy marriage is a long conversation that always seem too short.”
Begitu jugalah isteri apabila berjumpa dengan kawan-kawan mereka. Kalau tak percaya, cubalah bawa isteri berjalan ke rumah kawan-kawan. Lelaki biasanya akan bersembang mengenai topik yang khusus. Namun bagi kaum wanita lain pula cara sembangnya. Skopnya lebih luas. Selagi tidak diajak balik, selagi itulah mereka akan terus bersembang.
Namun, untuk menyalahkan suami dalam hal ini juga tidak adil. Bagi saya, cara suami menunjukkan kasih sayang mereka ialah dengan menyelesaikan setiap masalah yang dikemukakan oleh isteri mereka samada masalah tersebut besar atau kecil. Seseorang suami akan berasa tidak selesa terhadap masalah yang tiada penyelesaiannya. Tak gentlemanlah agaknya.
Jadi, bagi suami isteri yang tidak memahami perbezaan dan keunikan ini, potensi untuk bertelagah adalah besar. Lebih malang lagi ialah jika si isteri hilang minat dalam menceritakan masalah mereka kepada suami. Akhirnya si isteri akan sentiasa ‘bengkak’ dengan suami dan jika bengkaknya sudah ranum, faham-faham ajelah…
Pandai-pandailah kita dalam menangani sebarang masalah yang timbul. Kita sendiri yang lebih mengenali pasangan kita, ibarat aur dengan tebing yang sentiasa harmoni dan mengharap antara satu sama lain.
Kata orang putih, “Love is not gazing at each other, but looking together in the same direction.”
Ayuh semarakkan cinta bersama pasangan dengan menghadiri bengkel "Mahligai Kasih" pada 8 Ogos 2010. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lihat pada bahagian kanan blog ini. Terima kasih.
Salam.. Mohon copy artikel ni...Maaf
ReplyDelete